Sistem Muamalat ISLAM; Satu Perjuangan!

Oleh: Ustaz Mohd Fadhli bin Mohd Faudzi


Salah satu sebab mengapa sebahagian besar masyarakat Islam masih lagi terlibat dengan instrumen-instrumen HARAM dalam kewangan semasa ialah kerana kurangnya penyampaian dakwah oleh para penggerak Sistem Kewangan Islam seperti dalam sektor Perbankan Islam, Takaful, Pasaran Modal Islam dan sebagainya ke dalam komuntiti masyarakat.

Usaha dakwah sedia ada perlu dipertingkatkan lagi demi membimbing masyarakat Islam terutamanya supaya menyokong dan mendokong perjuangan dalam memartabatkan Sistem Muamalat & Kewangan Islam ini. Ini agenda Ummah yang perlu dilaungkan!

Dek kerana terlalu ‘memburu’ target sales demi untuk mengecapi ‘rewards’ duniawi mengakibatkan sebahagian gerak kerja mereka tidak sangat mengutamakan kerja-kerja dakwah dalam usaha ‘mengislah’ masyarakat dalam hal ehwal ekonomi dan kewangan semasa. Tidak dinafikan ada sebahagian mereka yang benar-benar faham dalam melaksanakan gerak kerja dakwah ini, namun bilangan kumpulan yang seperti ini perlu ditambahkan lagi bilangannya.

Benar, kini terlalu banyak Perbankan yang memasarkan produk-produk PATUH SYARIAH; begitu juga dengan belasan Pengendali Takaful yang berada di Malaysia hari ini. Namun, isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah belum tentu produk yang telah diputuskan sebagai Patuh Syariah oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah Dalaman tidak menghadapi RISIKO amalan TIDAK Patuh Syariah dek kerana pengabaian para penggerak seperti Marketing Team, IT Team, Solicitors, Para Agen dan sebagainya dalam menyempurnakan transaksi-transaksi tersebut berdasarkan Lensa ISLAM. Sebab itu, Audit Dalaman terutamanya Audit Syariah dalam memastikan amalan dan praktis yang dikendalikan oleh Entiti Kewangan Islam benar-benar menepati Roh Syara’ perlu dipertingkatkan sejajar dengan pandangan masyarakat yang mengamanahkan entiti kewangan tersebut supaya menjaga persoalan berkaitan HALAL & HARAM dalam transaksi kewangan mereka.

Akta terbaru yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu Islamic Financial Services Act 2013 wajar dipuji kerana Akta ini kelihatan lebih tegas antara lain dalam memastikan Para Pengendali Kewangan Islam benar-benar dapat menjaga roh-roh Syariah yang hakikatnya merupakan perbezaan terbesar di antara entiti Kewangan Islam dan entiti Kewangan Konvensional. Marhalah kita hari ialah untuk membuktikan kepada masyarakat seluruh dunia bahawa hanya Sistem Hidup yang berkiblatkan ISLAM sahajalah yang dapat mencorak rupa paras bumi ini dengan nilai-nilai fitrah manusia yang bakal dinikmati rahmatnya oleh makhluq seluruh alam!

Fastabiqul Khoirat!!!

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *